Monday, April 22, 2013
Pembangkang Ranapkan Malaysia Jika Berjaya Memerintah
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia boleh ranap jika pentadbirannya jatuh ke tangan pembangkang kerana mereka bukanlah satu gabungan besar yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, walaupun parti pembangkang kononnya mendakwa mereka ‘pakatan rakyat’, sebenarnya mereka gagal berpakat hingga bertanding sesama sendiri di beberapa kawasan Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei ini.
“Pakatan pembangkang bukanlah satu gabungan yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat. Mereka bukanlah gabungan yang besar, gabungan yang satu, falsafah yang satu.
“Ranap negara kita kalau kita beri kepercayaan kepada pembangkang,” katanya ketika merasmikan projek perumahan Sentuhan Kasih Felda di Felda Chini Timur 2 dekat Pekan semalam.
Di bawah projek itu, sebanyak 100 unit rumah akan dibina untuk generasi baharu Felda dan setiap rumah dengan keluasan 304.80 meter persegi akan diberi subsidi kerajaan dengan pemilik rumah hanya perlu membayar antara RM75,000 hingga RM85,000 seunit.
Najib memberitahu, kalau untuk bertanding menentukan kerusi pilihan raya pun pembangkang sudah gagal berpakat, apatah lagi untuk berpakat bagi mengendalikan pemerintahan negara.
Beliau berkata, rakyat perlu bijak menilai pakatan pembangkang kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.
Katanya, jika rakyat mahukan perubahan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah banyak melakukan perubahan untuk kesejahteraan rakyat.
“BN pun hendak perubahan, perubahan dari dalam. Kerajaan BN tunjukkan perubahan dan transformasi dilakukan dari dalam, tidak semestinya ubah kerajaan tetapi masa depan kita yang berubah (menerusi program transformasi kerajaan BN),” katanya.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment