Golongan petani di negara ini digesa agar tidak memperjudikan nasib mereka dengan memilih pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 ini kerana sektor perindustrian memerlukan kerajaan berpengalaman untuk menguruskannya.
Tambahan pula kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Seri Idris Jusoh, golongan petani sekarang sedang menuju ke arah petani moden hasil pelbagai inisiatif yang dilaksana kerajaan Barisan Nasional.
"Untuk menjadi petani moden memerlukan kepakaran teknologi tinggi yang hanya dapat dibekalkan oleh kerajaan sedia ada," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai di Besut semalam.
Katanya setiap tahun kerajaan menyalurkan bantuan bernilai RM4,400 kepada setiap petani di negara ini bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti mereka.
Sementara itu Pengerusi PPK Kebangsaan Datuk Zainal Dahalan berkata kerajaan telah meluluskan sejumlah RM7.2 juta tahun ini untuk diagih kepada 291 PPK di seluruh negara.
Peruntukan itu termasuk bagi mengadakan kursus lanjutan; mempertingkatkan kegiatan pengeluaran, pemasaran dan pemerosesan pertanian serta dana tabung pinjaman untuk usahawan tani.
Pada majlis semalam, sebanyak RM1.494 juta diagihkan kepada 7,472 anggota di 15 PPK di seluruh Terengganu dengan masing-masing menerima RM200 bagi membeli barangan bantuan pertanian.
No comments:
Post a Comment