Monday, April 29, 2013

Projek Laluan Rel Pantai Timur Akan Disambung Ke Bukit Besi

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) yang dirancang dari Kuantan ke Kertih kini akan disambung ke Bukit Besi, Dungun, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata perancangan awal projek itu membabitkan jarak 109 kilometer dari Kuantan ke Kertih tetapi kerajaan pusat bersetuju menyambung projek itu sehingga Dungun berhampiran Bukit Besi sepanjang 35 kilometer.

 "Kerajaan ingin memastikan pembangunan di sini lancar...banyak lagi projek lain seperti lebuh raya empat lorong dari Dungun ke Kuala Terengganu akan dilaksanakan nanti," katanya kepada pemberita selepas berjumpa dengan jentera parti Dewan Undangan Negeri (Dun) Sura, di Dungun, semalam.

Menurutnya projek ECRR serta lebuh raya itu dapat memcepatkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di Dungun.

Dalam pada itu, Ahmad, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, berkata beliau optimis BN dapat menawan semula kerusi Dun Sura pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13 (PRU13), 5 Mei ini.

Beliau meminta semua jentera parti supaya menjadikan kehilangan kerusi Dun Sura pada PRU 2008 sebagai pengajaran serta bekerja keras bagi mengembalikan kerusi itu kepada BN.

Pada PRU13, calon baharu BN Zakariah Ali akan dicabar calon Pas Wan Hapandi Wan Nik.

Pada PRU 2008, calon Pas Wan Hassan Mohd Ramli menang kerusi itu dengan majoriti 1,000 undi.

No comments:

Post a Comment