Monday, April 29, 2013

Transformasi BN Atasi Reformasi Pembangkang - Najib


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat membuat penilaian bijak antara transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan reformasi yang dilaungkan pembangkang.

Beliau berkata, dalam tempoh empat tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu gigih membawa transformasi yang cukup menyeluruh sama ada transformasi kerajaan, ekonomi, politik mahupun sosial.

Menurutnya, program transformasi kerajaan akan menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 manakala reformasi pembangkang mengajar rakyat berdemonstrasi bagi menjayakan hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

"Kita bandingkan antara agenda transformasi nasional dengan reformasi pembangkang, yang mana lebih baik. Sudah tentu transformasi lebih baik kerana bakal menjadikan Malaysia sebuah negara maju," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan kira-kira 10,000 hadirin pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Semeba, Jalan Stephen Yong di Kuching semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga calon BN kerusi Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng.

Sehubungan itu, Najib yang juga Pengerusi BN mengesa rakyat supaya menolak pembangkang memandangkan perjuangan reformasi mereka tidak jelas matlamatnya.

Sementara itu, pada majlis perasmian dan pecah tanah pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua No. 2 di Kuching, Najib percaya BN mempunyai harapan yang baik untuk mencapai kemenangan di kawasan campuran termasuk kawasan Parlimen Stampin pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini.

"Bagi kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi, saya nampak ada tanda kebaikan sedikit untuk menerima dan menyokong balik BN namun kita (jentera) perlu terus bekerja untuk menambahkan 'engagement' dengan mereka," katanya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment