Tuesday, April 23, 2013

Rampasan Rokok Putih Kedua Terbesar Oleh Kastam


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya merampas sebanyak 730,000 batang rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam, dengan nilai taksiran termasuk cukai berjumlah RM365,146 apabila berjaya menahan sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai pada 16 April lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Abdullah Zawawi Abdul Latiff berkata, rampasan rokok sebanyak 3,650 karton itu adalah merupakan kedua terbesar daripada tiga rampasan dalam masa empat bulan yang berjaya diperoleh oleh JKDM pada tahun ini.

Menurutnya, pasukan yang diketuai Pegawai Kastam Kanan JKDM Terengganu, Ahsan Sulahadi Mat Husin dan dibantu tiga anggota itu, pada jam 5 petang mengekori dan menahan sebuah kenderaan selepas menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas mini van tersebut, pasukan telah menemui sejumlah kotak rokok yang disyaki belum lulus kastam dipercayai dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

“Rokok-rokok ini dipercayai untuk edaran sekitar kawasan Terengganu dan besar kemungkinan ia dari Pantai Barat. Rokok ini juga disyaki dari Batam, Indonesia yang merupakan pulau bebas cukai.

“Susulan itu, pemandu van tersebut yang berumur 39 tahun yang beralamat Puchong, Selangor kini ditahan sehingga Selasa (23 April) bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Jalan Panji Alam, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sehingga kini, JKDM Terengganu melalui tiga rampasan tersebut, telah berjaya merampas lebih tiga juta batang rokok atau dengan nilaian RM1.5 juta cukai.

SH Online

No comments:

Post a Comment