Friday, April 12, 2013

TMJ Setuju Terima Semula Jawatan Selepas Menghadap Sultan Ahmad Shah

 

Tindakan yang saya ambil adalah untuk kebaikan dan kemajuan sukan bola sepak negeri Johor.”

Demikian penjelasan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengenai tindakan baginda menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan dua perenggan yang dihantar kepada semua media malam tadi, Tunku Ismail bertitah, baginda bersetuju menerima semula jawatan sebagai Presiden PBNJ setelah menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang minggu lalu yang meminta baginda menarik balik keputusan meletak jawatan.

“Nasihat serta pandangan baginda (Sultan Ahmad Shah) juga mendapat titah perkenan ayahanda saya, Sultan Ibrahim Ismail Su1tan Iskandar,” kata baginda.

Baru-baru ini, Sultan Ahmad Shah memaklumkan bahawa Tunku Ismail menerima semula jawatan sebagai Presiden PBNJ selepas dipujuk oleh baginda sendiri, selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim dalam pertemuan hampir sejam yang turut disertai oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Tunku Ismail sebelum ini digantung selama enam bulan dan denda sebanyak RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M), dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.

Baginda turut dipalit dengan kontroversi selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac lalu ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa sebelum Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBNJ 3 April lalu.

Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor, dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.

Tunku Ismail turut mengumumkan baginda akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan bahawa pendekatan yang dilakukannya itu demi para penyokong Johor yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad bola sepak negeri tersebut.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa pasukan Johor Darul Takzim (DT) telah mengambil pengajaran daripada kesilapan lalu, dan akan diperkukuhkan daripada segenap aspek,” titah baginda.

Skuad Johor DT juga akan mengharungi fasa baharu apabila pasukan itu bakal menyaksikan kemasukan pemain-pemain tempatan yang baharu, serta pengambilan beberapa pemain import yang berkualiti.

Sejak Tunku Ismail menerajui PBNJ, bola sepak Johor dilihat kembali meriah apabila penyokong semakin ghairah membanjiri stadium setiap kali skuad dari selatan tanah air itu beraksi. PBNJ memiliki dua wakil dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan Johor DT beraksi dalam Liga Super dan Johor FA pula bersaing dalam Liga Premier.

Setakat ini, Johor DT menduduki tempat ketiga Liga Super dengan 19 mata manakala Johor FA juga berada di tangga ketiga Liga Premier dengan 22 mata.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment