Thursday, May 16, 2013
'Helicopter Ride' Dijangka Menjadi Tarikan Utama Pengunjung
Kemudahan `Helicopter Ride’ untuk meninjau keindahan panorama Tasik Kenyir melalui ruang udara bakal menjadi tarikan utama pengunjung sempena penganjuran Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang berlangsung lima hari bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, perkhidmatan pengangkutan udara sepanjang tiga hari hanya dikenakan kadar caj RM50 setiap penumpang untuk tempoh masa 10 minit, berbanding harga sebenar RM150.
“Helicopter Ride yang dibawa khusus untuk festival itu antara acara baru yang mampu menarik perhatian pengunjung kerana penumpang berpeluang menerokai keindahan alam semulajadi sekeliling Tasik Kenyir dari udara.
“Pada masa yang sama, selain helikopter yang dilengkapi dua enjin dengan enam tempat duduk termasuk juruterbang, acara lain seperti persembahan pentas konsert `Masihkah Kau Ingat’ anjuran bersama Radio Klasik dan Nasional FM yang menampilkan artis-artis terkenal seperti Najwa latif, Azlan Typewriter dan Saleem,” katanya..
Beliau menyatakannya pada sidang akhbar sempena Penganjuran Festival Kenyir 2013, di Hotel Prinzpark, Kuala Terengganu,semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tuan Haji Wan Mat Amin Wan Daud dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.
Mohd Jidin berkata, seramai 35,000 pengunjung dijangka akan ke Tasik Kenyir sepanjang festival itu sekaligus mampu mencapai sasaran 450,000 pelancong ke tasik buatan manusia itu sepanjang tahun ini.
Katanya, pengunjung festival juga berpeluang mendapat maklumat berguna dari pameran oleh agensi dan jabatan berkaitan, selain pelbagai acara menarik yang lain seperti Karnival Upin Ipin, pertunjukan luncur udara, demostrasi bot kawalan jauh, paint ball, pameran kereta klasik dan auto show, sukan rakyat, pertandingan bot berhias serta memancing pinggir tasik.
Selain itu, Forum Perdana bertajuk `Melancong itu ibadah’ juga akan diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, pada jam 8.30 malam ini (16 Mei).
“Festival Kenyir yang dianjurkan kali kedua oleh Ketengah dengan kerjasama kerajaan negeri ini sebagai satu usaha mempromosikan negeri sempena TMT, khususnya Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang memiliki kemudahan dan keistimewaan tersendiri seperti keindahan alam semulajadinya yang mampu memukau pelancong dalam dan luar negara.
"Penganjuran festival ini juga bertujuan untuk memberi maklumat awal kepada pelancong tentang produk pelancongan baru antaranya Kenyir Island Hopping (KIH) dan cadangan Pulau Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada Ogos 2014,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment