Monday, May 13, 2013

PAS Kesal BN Terengganu Tidak Lantik PP DUN, Parlimen Di Kawasan Tewas


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dijangka akan menjelaskan lebih lanjut hari ini kenapa beliau membuat keputusan untuk tidak melantik Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) di kawasan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Beliau akan memulakan tugas pejabat pagi ini selepas pilihan raya umum ke-13 lalu dan akan mengetik kad perakam waktu hari pertamanya sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua,.

Beliau juga akan mengadakan sidang media di pejabatnya sempena hari pertama bertugas selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk tempoh lima tahun akan datang Sabtu lalu.

Semalam PAS menyatakan kesalnya di atas kenyataan Menteri Besar itu bahawa beliau tidak akan melantik PPD dan PPP di kawasan BN kalah dalam PRU13 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri, Ariffin Deraman berkata PPD dan PPP tidak diwujudkan mungkin akibat rakyat 'tidak mengenang budi' BN hingga menyebabkan beberapa calonnya seperti di Bukit Payong, Ru Rendang, Bukit Tunggal dan lain-lain kecundang pada pilihan raya itu.

"Sepatutnya peruntukan kepada Adun pembangkang khususnya PAS juga diberi sama seperti yang disalurkan kepada PPD sebelum ini, baru berlaku keadilan dalam pengurusan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun, Ariffin berkata untuk jangka panjang, PAS sedia terima (kenyataan Ahmad) kerana ia memudahkan urusan Adun Pas untuk bersama dengan rakyat.

Ariffin berkata demikian ketika mengulas pelantikan menteri besar dan 10 anggota exco Terengganu yang baru di Istana Maziah semalam.

Adun Alor Limbat itu turut menyentuh kenyataan Ahmad bahawa projek perumahan mampu milik hanya akan dilaksana di kawasan yang dimenangi BN.

Ariffin berkata, ini menunjukkan diskriminasi dan kezaliman. Di negara demokrasi, amalan sedemikian tidak wajar berlaku, kata beliau.

No comments:

Post a Comment