Sunday, May 5, 2013

PRU Terakhir - Ku Li Minta Pengundi Beri Kemenangan Besar


Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu pengundi memberi kemenangan lebih besar kepadanya kerana ini kali terakhir beliau menjadi calon pilihan raya berikutan faktor usia.

Tengku Razaleigh, 76, berkata beliau tidak akan menawarkan diri lagi untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan berharap para pengundi kerusi Parlimen Gua Musang akan membalas jasanya selama lima dekad dengan memberikannya undi yang lebih besar.


"Saya rasa sudah cukuplah untuk diri saya menawarkan diri bertanding pada PRU akan datang kerana usia semakin tua, dan berpuas hati dengan khidmat yang saya lakukan untuk rakyat Gua Musang selama 50 tahun berjuang untuk mereka," katanya pada majlis mesra pemimpin dengan masyarakat peneroka Felda di Chiku 2 semalam.

Tengku Razaleigh mula bertanding kerusi Parlimen Gua Musang, yang dahulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat sejak pilihan raya umum 1969 pada usia 32 tahun, dan telah menyandang kerusi itu untuk sembilan penggal dan pernah memenangi kerusi itu tanpa tanding pada pilihan raya umum 1974.

Bagi PRU kali ini, "hanya yang saya minta daripada rakyat untuk memberi kemenangan dengan majoriti lebih besar pada PRU-13 esok, Insya-Allah akan dapat dicapai," katanya.

Ketua Umno Gua Musang itu berkata jika terus diberi mandat pada Ahad, beliau berjanji akan terus memberi khidmat terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat supaya semuanya dapat tinggal dalam suasana aman dan maju.

Beliau yakin bukan sahaja kerusi BN Parlimen Gua Musang akan dapat menang besar, tetapi juga kerusi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paloh, Nenggiri dan Galas

 Ini kerana sokongan rakyat yang mahukan pemimpin yang sudah sekian lama berjasa kepada mereka, dan meneruskan usaha membawa pembangunan ke kawasan itu, katanya.

No comments:

Post a Comment