Sebanyak 20 pasukan termasuk tiga pasukan kebangsaan dan sembilan pasukan benua akan bersaing pada perlumbaan berbasikal lebuh raya bertaraf antarabangsa, Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013), bermula Rabu ini.
Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata perlumbaan lima hari itu juga akan melibatkan penyertaan lima kelab serta tiga pasukan tempatan.
"Tiga pasukan kebangsaan tersebut ialah Malaysia, Singapura dan Bahrain," katanya kepada pemberita selepas menerima penajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd serta pengumuman Milo sebagai penaja jersi Hijau (Raja Pecut) Rabu lalu.
Naim berkata sembilan pasukan benua ialah Terengganu Cycling Team (Malaysia), OCBC Singapore (Singapura), Matrix Powertag (Jepun) dan Huon Salmon Genesys Wealth Advisers Pro Cycling (Australia).
Selain itu, Team LBC Cycling (Filipina), CCN Cycling Team (Brunei), Team Baku Cycling Project (Azerbaijan), Polygon Sweet Nice (Ireland) dan 7 Eleven (Filipina).
Lima kelab pula ialah Putra Perjuangan Bandung dan Custom Cycling Club, masing-masing dari Indonesia serta tiga kelab tempatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Corbusier (Sarawak).
Manakala, tiga pasukan tempatan ialah Negeri Sembilan, Terengganu dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Perlumbaan sejauh 856km membabitkan lima peringkat itu akan bermula dari Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil ke Rembau (peringkat pertama) sejauh 187.7km.
Peringkat kedua Rembau-Batu Pahat (kedua-197.6km) diikuti Batu Pahat-Pontian (94.7km), Plaza Angsana Johor Baharu-Melaka (206.3km) dan peringkat kelima dari Melaka ke Putrajaya sejauh 169.8km.
Naim berharap pelumba negara dapat mempamerkan prestasi cemerlang pada perlumbaan itu bagi melonjakkan lagi nama Malaysia di persada sukan berbasikal di rantau Asia.
No comments:
Post a Comment