Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengagihkan 500 topeng muka secara percuma kepada pengguna jalan raya di Kuala Terengganu, semalam manakala sebanyak 1,000 lagi akan diagihkan di Dungun dan Kemaman hari ini.
Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata selain itu sebanyak 5,000 nashkah bahan pendidikan kesihatan mengenai jerebu sudah diedarkan ke tempat-tempat tumpuan awam manakala 5,000 nashkah lagi akan diagihkan dalam tempoh terdekat
Sementara itu, penduduk di Lembah Klang boleh mendapatkan topeng muka jenis N95 secara percuma di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan mulai semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sejumlah sejuta unit topeng muka disediakan untuk dibahagikan kepada orang ramai di kawasan berjerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
"Sekiranya jumlah satu juta itu habis diagihkan, ia bergantung kepada jumlah stok kami yang ada dan kami akan terus mengagihkannya sehingga keadaan jerebu semakin pulih," katanya dalam sidang media di semalam.
Dr Subramaniam berkata topeng muka juga telah diagih-agihkan kepada penduduk di negeri-negeri yang mempunyai bacaan IPU yang teruk seperti Johor dan Melaka melalui pusat membeli-belah, sekolah dan tempat-tempat awam.
Dr Subramaniam turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar semasa jerebu.
"Jika terpaksa berada di luar rumah, pastikan juga memakai topeng muka yang sesuai, minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dan elakkan merokok semasa jerebu untuk kesihatan," katanya.
Dr Subramaniam berkata pihaknya akan membincangkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menyelaraskan status penutupan sekolah semasa jerebu dan panduan menghadapi jerebu untuk sekolah-sekolah dalam mesyuarat kabinet Jumaat ini.
"Kami juga akan membincangkan mengenai status penutupan sekolah sekiranya jerebu sampai ke tahap tidak sihat ataupun berbahaya.
"Namun, sekiranya sudah sampai ke tahap 300 ke atas, maka sekolah itu mesti ditutup demi kesihatan murid-murid, " katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment