BN memfailkan 21 petisyen di mahkamah tinggi semalam bagi mencabar keputusan PRU13 lalu yang didakwa memihak kepada pembangkang.
Peguamnya, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata: “Kita telah mengadakan bengkel dua hari yang dihadiri semua peguam BN. Hasil perbincangan, kita mencapai keputusan kolektif untuk failkan 21 petisyen.
“Keputusan ini dibuat agar kes yang dihadapkan ke mahkamah mempunyai asasnya.
Namun, kita serahkan kepada mahkamah untuk menilai dan membuat keputusan,” katanya kelmarin.
Menurutnya, pemfailan petisyen dibuat berdasarkan beberapa sebab utama yang tidak menyebelahi calon BN.
“Antaranya ialah perbuatan rasuah oleh calon lawan dan ejennya serta sindiket perjudian yang membayar pengundi.
Selain itu, berlakunya taktik berbentuk pengaruh tak wajar dan menyerang peribadi calon BN yang bertanding.
“Sebab seterusnya ialah ketidakpatuhan SPR dalam perjalanan PRU, kelayakan calon bertanding dan aktiviti penjamuan calon pembangkang yang menang kepada pengundi.
Bersandarkan hujahan yang bernas dan kuat, kita yakin menang dalam setiap petisyen difailkan,” katanya.
SPR, pada 22 Mei lalu, mewartakan keputusan rasmi PRU13 dan pihak yang mempertikai keputusan PRU13 boleh memfailkan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas keputusan diwartakan, yang berakhir baru-baru ini.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, sebelum ini dilaporkan memberitahu sebarang petisyen yang dikemukakan parti politik yang bertanding pada PRU13 perlu didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh difailkan.
Arifin berkata, tempoh enam bulan realistik, kerana terdapat petisyen yang akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan negeri di Semenanjung.
No comments:
Post a Comment