Friday, June 14, 2013

Kerajaan Terengganu Peruntuk RM33.1 Juta Untuk Pembangunan Hutan Tahun Ini


Kerajaan negeri memperuntukkan RM33.1 juta kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk mengurus dan melaksanakan sembilan projek pembangunan hutan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia melibatkan pengurusan dan pembangunan sumber hutan, hutan lipur dan ekopelancongan, infrastruktur dan utiliti serta pemuliharaan sumber.

"Itu adalah di antara projek-projek utama yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan di bawah peruntukan tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarbangsa peringkat negeri 2013 semalam.

Sempena sambutan itu, kerajaan negeri telah menanam sebanyak 400 pokok bakau dan spesies pokok lain yang sesuai di pesisiran pantai di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir dekat Kuala Terengganu.

Ahmad Razif berkata sehingga akhir tahun lepas, sebanyak 57,000 pokok Rhu telah ditanam di pesisiran pantai Terengganu bagi mengatasi hakisan banjir melibatkan kawasan 71 hektar.

Usaha yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan dasar rancangan fizikal negara ke-20 iaitu ekosistem pesisiran pantai sensitif perlu dilindungi dan digunakan secara mampan, jelasnya.

Katanya selain itu, negeri Terengganu juga sinonim dengan keindahan hutan lipurnya yang telah menarik ribuan pelancong seperti Hutan Lipur Sekayu di Hulu Terengganu, Hutan Lipur Cemerong, (Dungun) dan Hutan Lipur Tembakah (Besut).

Ahmad Razif berkata pada tahun lepas seramai 130,000 pelancong telah dicatatkan berkunjung di kesemua hutan lipur berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak yang ingin bersama-sama membangunkan negeri Terengganu dalam pelbagai bidang termasuk sektor perhutanan, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2020.

Katanya pada masa ini, negeri Terengganu masih diliputi oleh 0.544 juta hektar kawasan hutan simpan kekal iaitu 42 peratus daripada keluasan tanah negeri ini.

Justeru itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri memberi penekanan agar segala sumber khazanah perhutanan yang ada ini digunakan sebaiknya bagi menjamin keberkekalan sumber hutan, katanya.

No comments:

Post a Comment