Friday, June 14, 2013

Jabatan Kesihatan Terengganu Ambil Langkah Berjaga-jaga Cegah Virus Kencing Tikus


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap virus kencing tikus (Leptospirosis) yang didakwa berlaku di Pulau Bidong.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata antara langkah yang dijalankan di pulau itu ialah penilaian risiko persekitaran yang meliputi tempat penyediaan makanan, stor makanan, pengurusan sisa makanan dan sampah yang boleh mengundang kehadiran tikus.

"Kami juga membuat penilaian ke atas kemudahan sanitasi yang disediakan seperti tandas dan bilik mandi serta pengurusan air di permukaan serta sisa air limpah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes kematian seorang pengawal keselamatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah mengalami demam panas yang teruk sebaik pulang daripada menyertai aktiviti laut di pulau itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan oleh pihak hospital terhadap mangsa yang disyaki dijangkiti adalah negatif.

 Dr Anwa berkata JKNT juga telah mengambil 16 sampel persekitaran iaitu 11 sampel dari sumber air dan lima sampel tanah selain memasang perangkap tikus di sekeliling kawasan yang berisiko sebagai langkah pencegahan.

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal yang terdiri daripada penyakit ringan seperti selesema hingga penyakit yang teruk dengan gejala berdarah dan kegagalan multiorgan.

Beliau berkata Leptospirosis teruk biasanya boleh menyebabkan kematian jika pesakit lambat menerima rawatan di klinik atau hospital.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan dan memastikan rumah atau premis mereka bebas daripada tikus dan pembawa kuman yang yang lain.

No comments:

Post a Comment