Friday, June 14, 2013
Terengganu Kecewa Acara 'Lubuk Emas' Tidak Disenaraikan
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terkilan dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur 2013 yang memansuhkan beberapa acara popular, yang dikhuatiri akan menjejaskan peluang Terengganu meraih banyak emas.
Antara acara yang dijangka tidak dipertandingkan ialah kenu serta berbasikal, yang menyumbang kepada perolehan pingat emas kepada Terengganu pada Sukma sebelum ini.
Ahmad Said berkata, pihaknya akan mengkaji supaya ketiadaan acara yang menjadi lubuk emas buat Terengganu tidak menjejaskan peluang kontinjen negeri itu mempertahankan kejuaraan pada Sukma kali ini.
"Kita sedang tengok perkara ini, ada benda baru (acara) yang tak jadi dipertandingkan, kita kena lihat balik macam mana berlaku acara yang kita ambil bahagian sebelum ini.
Seperti renang tak ada, banyak mana pingat kita rugi," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman kelmarin.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat pula berkata, walaupun Sukma kali ini akan mengurangkan banyak acara utama, Terengganu akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi yang lebih awal oleh para atlet Terengganu selain mengenal pasti beberapa acara lain yang dijangka mampu mendapatkan kutipan lebih banyak pingat. Pada Sukma 2013, Terengganu menghantar 438 atlet.
Pada Sukma tahun lalu, Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut dengan meraih 68 pingat emas.
No comments:
Post a Comment