Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan menganjurkan Program Penerangan Pembiayaan Perniagaan (4P), bertempat di Majlis Perbandaran Kemaman, esok.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU Azmi Razik berkata program itu bertujuan menyediakan platform kepada usahawan Bumiputera berinteraksi dan mendapatkan maklumat mengenai peranan agensi pinjaman perniagaan.
"Antara pembentang yang hadir, adalah dari Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
"Usahawan di negeri ini diharap pada hadir untuk memantapkan pengetahuan dalam bidang perniagaan serta meningkatkan jalinan kerjasama di antara usahawan dengan agensi pembiayaan perniagaan," katanya kelmarin.
Program yang diadakan secara percuma itu bakal menjadi platform kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan empayar perniagaan dengan bantuan modal dan pinjaman agensi terbabit.
Selain itu, katanya usahawan juga dipelawa menghadiri Kursus Pemasaran Internet yang diadakan selama dua hari, sepanjang bulan ini.
"Program yang juga diadakan secara percuma ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kemahiran dalam memasarkan perniagaan melalui Internet agar dipromosikan ke peringkat global," katanya.
Kursus itu juga akan mendedahkan kepada peserta cara pemasaran produk dengan kos minimum, melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter dan blog, katanya.
No comments:
Post a Comment