Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan kepada penumpangnya tentang kemungkinan berlaku pembatalan penerbangan pada saat-saat akhir dan penjadualan semula penerbangan berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di beberapa kawasan di negara ini sejak beberapa hari lepas.
Pengarah operasinya Izham Ismail berkata stesen tertentu diletakkan dalam pemantauan rapi mengenai kemungkinan ditutup atau mengalami gangguan iaitu Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan; Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Baharu; Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu; Lapangan Terbang Antarabangsa KL; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
"MAS bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memantau keadaan dan akan melaraskan operasi penerbangan kami dari dan ke lapangan terbang yang terjejas, sekiranya perlu.
"Keselamatan adalah perkara paling penting bagi MAS. Memastikan tetamu kami sampai ke destinasi mereka dengan selamat sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya dalam kenyataan semalam.
MAS menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau keadaan jerebu sejam sekali dan mengeluarkan maklumat terkini mengenainya tiga kali sehari.
Syarikat penerbangan itu juga menasihati penumpang supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan melayari www.malaysiaairlines.com atau menghubungi talian bebas tol 1300 88 3000 untuk mendapatkan maklumat terkini, sebelum bertolak ke lapangan terbang.
No comments:
Post a Comment