Sekolah yang terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian Pendidikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.
Katanya satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya semalam meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Menurutnya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300.
Bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Peljaran boleh merujuk Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.
"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar.
No comments:
Post a Comment