Monday, June 24, 2013

SUKMA 2013 - Terengganu Sasar 30 Pingat


Terengganu meletakkan sasaran 30 pingat emas bagi kontijennya untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-XVI Kuala Lumpur 2013 yang dijadualkan pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Sasaran itu mungkin jumlah yang agak kecil tetapi ia pasti meningkat bersandarkan prestasi sebagai juara Sukma keempat berturut-turut sebelum ini.

Tahun lalu pada Sukma Pahang XV, Terengganu mengutip 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa, layak bergelar juara keseluruhan.


“Sasasan itu adalah berdasarkan kepada prestasi pasukan dan peningkatan mutu para atlet yang mampu bersaing dengan atlet kebangsaan dan antarabangsa,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Rozi Mamat selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontijen Sukma Terengganu di Dewan Utama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, Hulu Terengganu, malam Khamis lalu.

Majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Terengganu. Seramai 388 atlet berkampung di akademi itu sejak empat hari lalu dan akan berakhir pada 27 Jun ini, yang merupakan Kem Fasa Akhir Sukma XVI Kuala Lumpur 2013.

Pada temasya Sukma kali ini, Terengganu yang turut dikenali sebagai kontijen Hanelang akan menyertai 17 daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Pada majlis itu, Mohd Kamil Othman diberi mandat sebagai Ketua Kontijen Terengganu pada tahun ini.

Rozi berkata, keyakinan penuh diberikan kepada ketua kontijen bagi melakukan sesuatu yang luar biasa pada misi kali ini untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

“Tahun ini sekali lagi kita dibekalkan atlet muda Terengganu yang mampu membuktikan kepada atlet dari negeri lain bahawa anak Terengganu juga boleh berjaya dalam apa jua yang di ceburi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional cukup komited untuk bangunkan sukan.

Oleh sebab itulah barisan pimpinan dalam negeri bersetuju untuk mengambil satu pasukan dalam satu acara yang di pertandingkan sebagai anak angkat.

“Mereka akan membantu segala yang diperlukan oleh pasukan anak angkat untuk menjadi johan dan mendapat pingat emas yang disasarkan.” katanya.

No comments:

Post a Comment