Tuesday, July 23, 2013

Ibu Tunggal Peroleh Pendapatan Tambahan Melalui Program Jaya Diri

Seramai 68 peserta Program Jaya Diri anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya meningkatkan taraf ekonomi keluarga dengan memperoleh pendapatan minima RM500 setiap bulan pada tahun ini.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata daripada jumlah itu, enam peserta memperoleh pendapatan RM1,500 setiap bulan manakala 15 peratus lagi memperoleh antara RM500 dan RM1,400. 

"Program ini merupakan program perubahan sikap yang bertujuan melahirkan isi rumah berdikari dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang disasar kepada golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia beliawanis keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah setiap bulan.

"Melalui program ini, peserta didedah dengan motivasi serta menambah pengetahuan dan kemahiran malah diberi kemudahan memperoleh bantuan berbentuk pinjaman modal bagi menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan berdasarkan kemahiran mereka," katanya semalam.

Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diperuntuk kepada YPKT bagi program pembangunan ibu tunggal dan daripada jumlah itu, RM8.7 juta adalah dana pinjaman perniagaan Program Jaya Diri.

Mohd Shafaruddin berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan ibu tunggal dalam sektor perniagaan berasaskan makanan, pakaian, jualan produk penjagaan kesihatan serta kecantikan, jahitan selain kraf tangan, perkhidmatan seperti dandanan dan pakej perkahwinan.

Mengulas pembayaran balik pinjaman, beliau berkata setakat ini, semua peserta membayar berdasarkan jadual bulanan, yang membuktikan perniagaan mereka berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment