Tuesday, July 23, 2013

PRK Kuala Besut: SPR Garis Tataetika Pada Hari Pengundian

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung pematuhan dan tataetika pada hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 24 Julai ini yang antara lain berkaitan penggunaan dakwat, hak mengundi dan aktiviti berkempen.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan itu menasihatkan semua pihak termasuk calon, penyokong parti, pekerja parti dan pengundi agar mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan SPR dan polis bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar, aman, tenang dan terbaik. 

Katanya SPR juga telah melantik pemerhati-pemerhati tempatan yang akan memerhati proses pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil itu.

Berhubung penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz menegaskan bahawa pengundi wajib mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat yang disediakan SPR pada hari pengundian.

"Jika ada pengundi yang enggan mencelup jarinya ke dalam dakwat, kertas undi tidak akan diberikan kepadanya," katanya.

Beliau berkata pengundi yang masuk mengundi akan diperiksa jarinya supaya bebas daripada sebarang dakwat.

Katanya pengundi boleh memohon kepada Ketua Tempat Mengundi untuk mendapatkan kertas undi gantian jika pengundi mendapati dengan tidak sengaja kertas undinya terkotor kerana terkena dakwat kekal, namun Ketua Tempat Mengundi harus berpuas hati bahawa kekotoran itu bukan disengajakan.

Abdul Aziz turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengganggu pengundi yang datang mengundi terutamanya pengundi yang secara fizikalnya dan penampilan kelihatan tidak seperti rakyat Malaysia. 

Katanya perenggan 3(1)(n) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang menggalang atau menghalang seseorang pengundi yang selainnya berhak untuk mengundi daripada mengundi dalam sesuatu pilihan raya merupakan suatu kesalahan.

Beliau berkata pengundi yang telah berpindah tempat tinggal dan menukar alamat tempat tinggal pada kad pengenalan tetapi tidak memohon untuk menukar alamat pusat mengundi dengan SPR tidak perlu risau mengenai hak mengundi mereka.

"Ini kerana undang-undang jelas mengatakan, mengundi adalah mengikut di mana nama seseorang pengundi itu didaftarkan. Apabila telah mendaftar sebagai pengundi namanya akan kekal di situ sehinggalah pengundi itu memohon untuk menukar alamat pusat mengundi dengan SPR," katanya.

Abdul Aziz berkata pengundi yang belum membuat semakan maklumat pengundian masing-masing, boleh melakukannya di barung-barung SPR di pusat-pusat mengundi, yang dilengkapi dengan kemudahan komputer bagi mempercepatkan proses penyemakan.

Sebarang pembukaan, penubuhan atau penyelenggaraan mana-mana pondok/barung oleh mana-mana parti politik dengan alasan membantu pengundi membuat semakan adalah tidak dibenarkan pada hari pengundian, katanya.

"Orang lain tidak dibenarkan berada di barung SPR selain petugas-petugas SPR dan pemerhati barung bagi pihak yang dilantik dengan sahnya oleh calon itu sendiri," katanya.

Abdul Aziz mengingatkan bahawa tempoh berkempen tamat pada 11.59 malam 23 Julai dan selepas itu tidak dibenarkan lagi sebarang aktiviti berkempen.

Aktiviti merayu dan meraih undi pada hari mengundi adalah dilarang sama sekali dan merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, katanya.

Pada 24 Julai ini, seramai 16,534 pengundi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Abdul Aziz berkata SPR menyediakan lapan pusat mengundi dengan 35 tempat mengundi (saluran). Pusat mengundi mula dibuka jam 8 pagi sehingga 5 petang kecuali pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian akan ditutup pada 3 petang.

Beliau berkata pengiraan undi akan dibuat di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi. Sebagai menghormati bulan Ramadan, Abdul Aziz berkata SPR hanya akan mengisytiharkan keputusan pilihan raya kecil itu pada jam 10 malam atau selepas itu.

No comments:

Post a Comment