Wednesday, July 3, 2013
Kesal Gambar Masjid Dipijak Di Pasar Raya Melaka
Tindakan sebuah pusat beli-belah di Bandar Hilir Melaka meletakkan gambar masjid bersama ucapan Selamat Hari Raya di atas lantai setiap pintu masuk pasar raya berkenaan mendapat bantahan orang ramai.
Ini kerana, tindakan mereka itu seolah-olah menggalakkan orang ramai memijak masjid, sekaligus dianggap satu penghinaan kepada umat Islam.
Peniaga, Aziz Embi, 58, mendakwa, kewujudan gambar masjid di atas lantai sejak kira-kira seminggu lalu amat dikesali kerana masjid merupakan simbol umat Islam, bagaimanapun pengurusan pasaraya terbabit meletakkan martabatnya di bawah tapak kaki.
“Pada mulanya saya tidak sedar perkara ini, tetapi lama-kelamaan baru saya sedar ia gambar masjid dan dipijak orang ramai setiap kali memasuki pintu masuk pusat beli-belah ini,” katanya.
Pengunjung, Khairul Arif Abdul Hakim, 25, pula berkata, pusat beli-belah berkenaan patut peka terhadap sensitiviti umat Islam.
“Walaupun saya percaya mereka berniat baik dan mahu memeriahkan suasana hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, tetapi seharusnya hal ini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan, semalam.
Seorang lagi pengunjung, Yahya Abd. Razid, 42 berkata, pihak pengurusan sepatutnya meletakkan gambar berkenaan di dinding dan bukannya di lantai.
“Kalau nak juga letak di lantai, letak sahaja ucapan Selamat Hari Raya tanpa gambar masjid,” katanya.
Manakala, Halim Samsuddin, 34, pula berharap, pihak pengurusan pasaraya terbabit dapat mengalihkan segera gambar masjid yang diletak di atas lantai itu, sebelum lebih ramai pengunjung memijaknya.
“Pihak berkuasa juga diharap dapat menasihatkan pihak pengurusan pusat beli-belah ini dalam hal-hal berkaitan sensitiviti umat Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment