Friday, July 5, 2013

PRK Kuala Besut: SPR Guna Dakwat Kekal Baru

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyerahkan watikah pelantikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A.Rahim Jusoh (Pegawai Daerah Besut) ketika sidang akhbar mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, di Putrajaya, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan mereka akan menggunakan jenis dakwat kekal baru yang kekal lebih lama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penggunaan dakwat kekal telah termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan dan perlu dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi diberikan. "Dakwat kekal akan terus digunakan, kecuali undang-undang dipinda. Dakwat kekal adalah syarat mengesahkan undi seseorang itu.

"Bagaimanapun dakwat kekal yang bebeza akan digunakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat SPR hari ini.

Abdul Aziz memberi jaminan, kandungan silver nitrat yang terkandung dalam dakwat kekal yang baru mampu bertahan lebih lama daripada yang digunakan pada PRU-13. "Kita ambil pertimbangan daripada kelemahan yang telah berlaku sebelum ini.

"Hasil maklumat yang kita terima pada 'post mortem' yang lalu, kita akan ambil kira mengenai ketahanan dakwat kekal itu, aduan ianya lambat kering dan mengakibatkan kertas undi kotor," katanya.

Ketika ditanya adakah SPR masih menggunakan pembekal yang sama untuk dakwat kekal yang baru itu beliau berkata, pembekal yang berlainan akan digunakan, siapa dan dari mana ia diambil tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

"SPR dalam proses menempah bekalan dakwat itu. Kita harap kita akan dapat yang lebih baik dan elak kelemahan," katanya.

No comments:

Post a Comment