Tuesday, July 30, 2013
Peniaga Uptown P3 Belia Kemaman di Taman Persiaran Raih Jualan RM1,500 Sehari
Aidilfitri yang bakal menjelang memberi limpahan rezeki buat peniaga muda di Uptown Pemuda Puteri Peniaga (P3) Belia Kemaman di Taman Persiaran apabila kawasan itu dibanjiri ribuan pengunjung setiap malam.
Malah, peniaga Uptown berkenaan sering dikunjungi pengunjung yang datang termasuk dalam kalangan pekerja pelantar minyak mampu meraih jualan RM1,500 setiap hari.
Bukan sekadar menjual sematamata, malah di Uptown P3 Belia yang dibuka oleh Pekida Kemaman dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu juga saban hari diadakan bacaan al-Quran oleh penuntut Institut Pengajian Islam (Inspi) Yayasan Islam Terengganu Binjai sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Peniaga merangkap Setiausaha Pekida Kemaman, Ahmad Fazli Mohamad berkata, jumlah peniaga di Uptown P3 Belia Kemaman tahun ini seramai 60 orang.
“Dengan lebih banyak gerai jualan dibuka pada tahun ini, ia menjadikan kawasan ini tumpuan ramai kerana pelbagai barangan dijual termasuk baju, tudung, kasut, aksesori serta biskut dan kuih raya. Waktu gerai dibuka ialah jam 7 petang hingga 1 pagi sepanjang Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Fazli yang turut menyewa tiga gerai iaitu gerai menjual kasut, jam dan pelbagai lagi aksesori memberitahu, purata hasil jualan semalaman berjaya diraih adalah kira- kira RM1,500 kerana kawasan itu strategik malah turut menjadi kawasan pekerja pelantar minyak untuk turun dan menaiki bot.
Sementara itu, Ahmad Fazli berkata, kebanyakan barangan dijualnya diambil dari China kerana murah dan tidak memerlukan modal yang besar.
“Kebanyakan peniaga di daerah ini menganggap mengambil barang di China memerlukan modal besar tapi sebenarnya ia tidak, malah ada juga yang tidak mengetahui cara untuk mengambil barangan di negara itu.
"Misalnya dengan modal RM5,000 pun sudah mencukupi untuk membeli barangan aksesori seperti jam tangan dan cermin mata di China berbanding jika diambil secara borong di Kuala Lumpur kerana harganya sekali ganda iaitu sekitar RM10,000.
“Bagi membantu peniaga muda yang mahu melebarkan sayap, saya juga ada menyediakan pakej kepada peniaga untuk aktiviti urus niaga di China,” katanya
No comments:
Post a Comment