Monday, July 15, 2013

Polis Nasihati Ibu Bapa Henti Beli Mercun Untuk Anak-Anak

Polis berazam mahu mengurangkan gejala bermain dan menjual mercun yang berleluasa pada setiap perayaan Aidilfitri ekoran kecederaan, terutamanya akibat bermain mercun bola.

"Kadang kala kita lihat ada ibu bapa yang membelikan mercun kepada anaknya dan saya harap perkara seperti itu tidak berlaku lagi," kata Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof.

Katanya polis akan berkerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyekat penyeludupan mercun.

"Larangan bermain serta menjual mercun masih berkuatkuasa. Kami meminta kerjasama orang ramai yang tahu individu atau kedai yang menjual mercun segera membuat aduan di balai polis berdekatan," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan beberapa kes iaitu di Alor Setar membabitkan dua remaja menjadi mangsa awal letupan mercun musim Ramadan tahun ini apabila masing-masing cedera terkena serpihan bahan letupan buatan sendiri pada Rabu lepas.

Kes terbaru ialah di Kuala Terengganu, Terengganu semalam iaitu dua daripada tiga remaja yang berumur 12 hingga 14 tahun cedera parah akibat terkena serpihan mercun bola dan mereka adalah mangsa mercun pertama di negeri itu pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment