Monday, July 1, 2013

PRK Kuala Besut - Keputusan Tidak Ubah Kedudukan BN Terengganu, PAS Boikot?


Sebarang keputusan pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak akan membawa kepada perubahan pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang kini diterajui Barisan Nasional (BN).

Biarpun kedudukan akan menjadi 16-16 seandainya kemenangan menyebelahi pembangkang namun undi pemutus Speaker DUN, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, bakal merubah kedudukan menjadi 17-16 membolehkan BN terus berkuasa di negeri ini.

Mungkin kerana faktor ini menyebabkan PAS agak ‘tawar hati’ dan berselindung di sebalik isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwa oleh pembangkang tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lantas timbul persoalan, apakah Pas akan memboikot PRK DUN Kuala Besut sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng? Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti.

Menurut Mustafa, parti itu akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

“Pimpinan pembangkang kena berbincang dahulu betul-betul kalau hendak memboikot (PRK DUN Kuala Besut), apa-apa keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor semalam mencadangkan Pas untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh SPR.

Kerusi DUN Kuala Besut menyaksikan kekosongan selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Said sebelum berlaku kekosongan kerusi di DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A Rahman Mokhtar, Selasa lalu.

Menurut Mustafa, biarpun cadangan untuk memboikot dikemukakan, Pas akan tetap membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

”Bagi Pas, kita akan tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, itu tanggungjawab kita dengan dibantu rakan-rakan parti pakatan," katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata semalam, sebarang keputusan pilihan raya kecil DUN Kuala Besut tidak jejaskan kerajaan BN Terengganu. 

Bagaimanapun, Ahmad berkata keputusan PRK DUN Kuala Besut itu amat penting bagi BN untuk menjamin kestabilan politik di Terengganu dan berharap keadaan akan menjadi stabil dalam negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat veteran Umno Besut iaitu bekas ketua wanita UMNO cawangan Kampung Tok Saboh, Wan Mek Wan Embong, 93 yang kini uzur dekat Kuala Besut, semalam.

Katanya, BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan dalam bulan Ramadan.

Katanya, pelbagai kaedah tertentu akan digunakan untuk berkempen bersesuaian dengan bulan yang mulia itu.

Sumber – Bernama & Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment