Tuesday, July 23, 2013

Risda Serah Dividen RTBB Sebelum Aidilfitri

Risda akan menyerahkan sepenuhnya dividen berjumlah RM193.5 juta kepada 16,080 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) di seluruh negara sebelum Aidilfitri.

 Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dividen itu akan turut dinikmati peserta Tanam Semula Komersil (TSK) seramai 21,314 orang.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 2,623 pekebun kecil di seluruh Terengganu akan menikmati durian runtuh bernilai RM17,956,755.

"Saya harap pemberian dividen dan sumbangan zakat serta SSR ini dapat digunakan dengan berhemah bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba," katanya pada majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Dividen Risda Negeri Terengganu di Masjid Haji Hussain, Kampung Baharu dekat Kuala Besut, semalam.

Majlis itu lanjutan penyampaian dividen Risda peringkat nasional pada 13 Julai lepas di Pekan, Pahang yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ibrahim Mohammad dan Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad serta Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mohd Shafie berkata Risda turut mengeluarkan zakat RM2.2 juta dan menyampaikan sumbangan bernilai RM40,000 kepada 20 masjid terpilih sekitar Besut untuk keselesaan jemaah.

Beliau berkata kerajaan meluluskan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah RM500 secara sekali gus dan pemberian itu dilihat sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil.

Katanya, kejatuhan harga komoditi itu di pasaran memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil getah serta sawit, dan Risda serta kementeriannya akan berusaha menangani isu berkenaan.

Mohd Shafie berkata meskipun majoriti penduduk di daerah ini adalah nelayan, terdapat 5,099 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit seluas 11,489 hektar.

No comments:

Post a Comment