Tuesday, July 2, 2013
Wilayah Persekutuan Mendahului Pungutan Pingat Emas, Terengganu Ketiga
Juara bertahan, Terengganu semalam menduduki tangga keempat merampas tangga ketiga daripada Negeri Sembilan dengan kutipan tujuh pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.
Sementara Kontinjen Wilayah Persekutuan muncul kuasa baharu dalam acara lawan pedang yang menutup tirainya pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-16, semalam.
Kutipan lima pingat emas yang diraih oleh kontinjen berkenaan yang dianggotai oleh Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membolehkan mereka muncul juara keseluruhan, dengen kelebihan satu pingat emas berbanding Johor.
Keputusan tersebut membolehkan mereka terus mendahului carta kedudukan pingat keseluruhan dengan sembilan pingat emas, empat perak dan enam gangsa sambil diekori rapat oleh Johor dengan lapan emas, tiga perak dan 12 gangsa.
Lima emas Wilayah Persekutuan diraih menerusi acara Foil Individu Lelaki, Sabre Individu Lelaki, Foil Berpasukan Lelaki, Foil Berpasukan Wanita dan Sabre Berpasukan Lelaki. Pencapaian berkenaan sekali gus mengatasi catatan dua pingat emas yang diraih oleh kontinjen berkenaan pada edisi 2011 yang turut berlangsung di Lembah Klang.
Penolong Pengurus pasukan Wilayah Persekutuan Nong Thien Boon memuji barisan atlet yang rata-ratanya terdiri daripada muka baharu dan menyatakan latihan intensif sebelum menghadapi temasya sukan tahunan itu menjadi kunci kejayaan cemerlang mereka
"Saya sendiri tidak sangka mereka dapat memberikan satu persembahan sebagus ini dan saya harap pada masa akan datang mereka mampu menonjol bukan hanya diperingkat kebangsaan namun peringkat antarabangsa," katanya.
Perlis yang akan menganjurkan SUKMA tahun depan, akhirnya menamatkan kemarau kutipan pingat selepas meraih pingat gangsa dalam acara woodball.
Hari ini, sejumlah 36 pingat akan menjadi rebutan dalam empat acara akhir iaitu woodball, mendayung, renang seirama dan gimnastik.
No comments:
Post a Comment