Sunday, August 25, 2013

Harrif Persoal Strategi PKBM Pada Sukan SEA 2013 Myanmar


Pelumba pecut, Mohd. Harrif Salleh berharap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) lebih 'membuka mata' dalam pemilihan skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, 11 hingga 22 Disember depan.

Meskipun menerima dengan hati terbuka selepas namanya tidak disenaraikan dalam enam pelumba bagi acara lepas beramai-ramai di Naypyidaw itu, Harrif meluahkan kehairannya mengenai sistem pemilihan yang dilakukan oleh PKBM.

Bukan mahu menidakkan kemampuan rakan seperjuangannya yang lain, sebaliknya pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 25 tahun itu hanya mempersoalkan strategi empat pelumba pendaki dan dua domestik yang direncanakan jurulatih Aminuddin Sulaiman.

Menurutnya, percaturan Aminuddin yang enggan mempertaruhkan pelumba pecut seperti Anuar Manan (Synergy Baku Cycling) dalam skuad tersebut adalah tidak masuk akal dan akan menjejaskan misi PKBM memenangi pingat emas pertama acara tersebut sejak temasya 2007.

"Bagi saya, keputusan menurunkan pelumba pendaki itu memang tepat kerana kami memerlukan mereka bagi membantu pelumba lain ketika di laluan berbukit," jelas Harrif semalam.

"Namun, ketiadaan pelumba pecut yang agak menghairankan saya kerana baki 120 kilometer selepas pendakian itu adalah laluan landai dan di sinilah pentingnya negara mempunyai pelumba yang boleh memecut.
"Namun, saya lihat dalam senarai ini hanya ada pelumba pendaki, domestik atau all-rounder sahaja. Mungkin ia penting tetapi saya bimbang kalau pelumba negara tidak dapat memberi saingan apabila menuju ke garisan penamat nanti," tambah pelumba dari Ladang Titian, Terengganu itu lagi.

Harrif yang memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut di Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M2013) Jun lalu, mempamer prestasi yang agak konsisten tahun ini dengan memenangi beberapa peringkat perlumbaan termasuk Jelajah Iran, Jelajah Singkarak dan terbaharu peringkat ketiga Jelajah Borneo 2013 minggu lepas. 

Selain pelumba yang berada di ranking No. 2 negara di belakang Loh Sea Keong (OCBC Singapura) itu, seorang lagi pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu, Anuar Manan turut cemerlang dengan memenangi Jersi Hijau (Raja Pecut) pada jelajah yang sama.

"Saya tidak kisah sama ada saya atau Anuar yang terpilih nanti kerana bagi saya pelumba pecut perlu ada dalam skuad ke Sukan SEA ini jika mahu memberi saingan kepada pelumba lain.

"Saya tidak tahu sama pemilihan ini dibuat berdasarkan prestasi semasa pelumba atau hanya berdasarkan strategi jurulatih semata-mata.

"Kalau dilihat kepada prestasi, memang pemilihan beberapa pelumba amat tepat seperti Shahrul (Mat Amin, TSG) menjuarai GP Kebangsaan, Adiq (Hussainie Othman, Champion System) memiliki pengalaman luas dan Sea Keong pemenang Jersi Kuning JM2013

 "Perasaan kecewa itu memang ada kerana siapa yang tidak mahu mewakili Malaysia, tetapi saya sudah biasa dengan perkara ini seperti yang berlaku ketika Sukan Olimpik dahulu.

"Cuma apa yang saya harapkan kali ini ialah PKBM harus lebih 'membuka mata' dalam segi pemilihan pelumba dengan menilai pencapaian dan prestasi pelumba dalam sesuatu kejohanan," ujarnya lagi.

Selain Shahrul, Adiq dan Sea Keong, tiga pelumba lagi yang disenaraikan PKBM ialah Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional), Mohammad Saufi Mat Senan dan Mohd. Zamri Salleh (TSG).

No comments:

Post a Comment