Thursday, August 29, 2013

Nilai Prestasi Pengurusan Kewangan Secara Rawak - MB

Ahmad Said (duduk, dua dari kiri) dan Abdul Razak Salleh, (duduk, dua dari kanan) bersama peserta Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam di Kuala Terengganu, kelmarin.
Setiap jabatan, agensi serta syarikat milik kerajaan di negeri ini perlu sentiasa bersedia untuk dinilai prestasi pengurusannya dari segi kewangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penilaian itu akan dilakukan secara rawak pada setiap tahun sebagai salah satu langkah memastikan pengurusan sentiasa berada dalam keadaan baik.



"Setiap tahun kita akan pilih sehingga 10 untuk dinilai secara rawak. Maknanya semua pihak perlu sentiasa bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam 2013 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Abdul Razak Salleh; Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu, Roslan Abu Bakar serta beberapa kenamaan lain. 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan sistem penarafan dengan memberikan 'bintang' kepada jabatan, agensi dan syarikat.

"Setakat ini, ada lima syarikat atau perbadanan yang mendapat empat bintang (cemerlang) dan sasaran kita sebanyak 10," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memuji langkah UUM menganjurkan seminar berkaitan kewangan dan pengauditan dalam usaha meningkatkan kefahaman pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan kewangan ini.

"Kadang-kadang pegawai (kerajaan) ini merasakan apa yang mereka buat itu betul (dari segi pengurusan kewangan) tapi mungkin dari sudut pandangan juruaudit pula masih ada yang tak betul dan sebagainya. "Kita perlu gabungkan (pandangan kedua-dua pihak) menerusi seminar ini.

Penggabungan kedua-duanya merupakan satu daya usaha atau inisiatif yang patut diberi sokongan dan dokongan," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, seminar bertema 'Melestarikan Perkhidmatan Kelas Pertama Sektor Awam Melalui Inovasi Kewangan dan Pengauditan' merupakan lanjutan kepada seminar seumpamanya di Kota Kinabalu tahun lalu yang mendapat sambutan di luar dugaan.

Seramai 150 wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negara menyertainya.

UM Online

No comments:

Post a Comment