Sunday, August 25, 2013

Bukit Aman Siasat Kes Ummu Jah

Kertas siasatan Hatijah Aam atau Ummu Jah, balu pengasas Al-Arqam, pertubuhan yang diharamkan pada 1994, telah diserahkan kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah (gambar kanan) berkata, penyerahan itu dilakukan berikutan penahanan Ummu Jah dua hari lalu.

“Bukit Aman akan tentukan berapa hari Ummu Jah direman,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Rabu lalu, selepas menghadirkan diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ummu Jah ditahan polis untuk siasatan berhubung dengan kes penyelewengan dana rumah amal dan ajaran sesat.

Ummu Jah dijangka didakwa di Mahkamah Rendah Syariah daerah Gombak, Selangor, 22 November depan atas pertuduhan memimpin, menyebar dan menghidupkan semula ajaran sesat pertubuhan itu. 

Penolong Pengarah Seksyen Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Dalam perkembangan lain, Jakim sudah membuat pertemuan dengan jabatan agama Islam negeri untuk memantau 81 buah rumah amal di bawah syarikat itu yang dipercayai digunakan sebagai salah satu cara mendapatkan dana bagi kegunaan dan pergerakan mereka.

Mengikut rekod Jakim, sehingga kini terdapat sekitar 5,000 pengikut Al-Arqam bernaung di bawah GISB.

No comments:

Post a Comment