Sunday, August 25, 2013

Curi Motosikal Jenayah Tertinggi Sepanjang Raya

Jenayah kecurian motosikal mencatatkan jumlah tertinggi diikuti jenayah pecah rumah yang berlaku sepanjang musim cuti perayaan lalu, demikian menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin.

Zamri berkata, walaupun jenayah kecurian motosikal menampakkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, namun ia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

Katanya, kes jenayah pecah rumah yang menunjukkan penurunan pula membuktikan masyarakat hari ini sudah mulai sedar dan prihatin berhubung keselamatan kediaman masing-masing terutama pada musim cuti perayaan.





“Selain itu, masyarakat mula membuka mata dan tidak lagi takut untuk memberi kerjasama kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah, terutama pada musim-musim cuti perayaan ini.

“Ini terbukti apabila statistik menunjukkan jumlah orang awam yang memaklumkan kepada balai polis berhampiran sepanjang meninggalkan rumah seperti mana yang disarankan oleh pihak polis sebelum ini ada peningkatan berbanding sebelumnya,” katanya.

Menurut Zamri, kerjasama baik yang diberikan oleh orang awam merupakan faktor utama berjaya menurunkan jumlah jenayah pecah rumah sepanjang cuti musim perayaan tahun ini.

“Sebelum ini polis telah memberi jaminan keselamatan kepada pemilik rumah yang memaklumkan kepada balai polis berhampiran sepanjang peninggalan mereka untuk balik kampung, dan hari ini polis telah buktikan yang jaminan keselamatan itu bukan sekadar cakap-cakap.

“Sehingga hari ini (semalam), tiada rekod jenayah pecah rumah yang berlaku terhadap kediaman pemilik rumah yang memaklumkan kepada balai polis berhampiran sebelum meninggalkan rumah mereka,” katanya. 

Bagaimanapun, Zamri berkata, jenayah pecah rumah dan curi motosikal bukan lagi menjadi satu trend pada musim cuti perayaan seperti mana yang sering dibimbangkan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment