Thursday, August 22, 2013

Sambutan Hari Raya Wisma Darul Iman Meriah, Ceria



Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Kelab Wisma Darul Iman (KWDI) berlangsung meriah dan penuh ceria apabila dibanjiri lebih 8,000 tetamu khususnya pegawai dan kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi di seluruh Terengganu.

Tambah memeriahkan suasana apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud turut menyertai majlis itu.

Majlis raya KWDI turut tidak lupakan golongan kurang bernasib baik apabila menjemput 100 murid di kalangan anak yatim dan miskin dari sekitar Kuala Terengganu untuk turut sama meraikan majlis itu.


Sebelum itu semua murid berkenaan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar; SK Pasir Panjang; SK Pusat Kuala Ibai; SK Tengku Bariah dan SK Chendering menerima duit raya yang disampaikan Menteri Besar dan isteri.

Seorang murid tahun tiga SK Chendering, Mashitah Hassan berkata dia teruja kerana pertama kali dapat menyertai majlis itu, apatah lagi menerima duit raya dari Menteri Besar dan isteri pemimpin negeri itu pada kali ini.

“Rasa gembira dan sangat seronok. Terima kasih kepada semua sebab pilih saya ke majlis ini. Dapat duit raya dan juga makan pelbagai juadah hari raya,” katanya.

Perasaan gembira turut dirasai Ainun Adila, 11, dari SK Pusat Kuala Ibai, yang berkesempatan menemui Menteri Besar untuk kali kedua, selain pertama kali ketika menerima e-Book dari pemimpin itu.

Sementara murid SK Tengku Bariah, Mohd Hafiz Aiman, 8, pula rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk guru sekolahnya yang memilihnya ke majlis itu. “Terima kasih cikgu dan semua. Terima kasih juga Dato’ Seri Ahmad Said sebab beri duit raya ini. Semakin banyak duit raya saya tahun ini,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment