Tuesday, August 20, 2013

UMT, UKM Dan Institut Oseonagrafi China Kerjasama Kaji Perubahan Monsun

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama First Institute Oseonagrafi, China akan menjalankan kajian mengenai persekitaran monsun di Asia Tenggara. 

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT Profesor Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata kajian itu penting untuk mengetahui tentang perubahan cuaca dan memahami corak monsun untuk meramal apa yang bakal terjadi dengan lebih awal.

"Seandainya berlaku kelainan cuaca, ia akan mengakibatkan masalah besar antaranya banjir dan kemarau...kajian ini untuk mengenal pasti keadaan monsun di kawasan Asia untuk kepentingan ekosistem dunia," katanya pada sidang media sempena perasmian program 'Summer School on the Seagoos Monsoon Onset Monitoring and its Social and Ecosystem Impact (MOMSEI)' di UMT di Kuala Trengganu, semalam.

Program empat hari yang julung kali diadakan di Malaysia itu bertujuan mendedahkan peserta mengenai keadaan musim monsun dan kesannya terhadap ekosistem dan sosioekonomi masyarakat setempat serta cara mengumpul data monsun.

Ia disertai 30 pelajar dan penyelidik dari sembilan negara Asia iaitu Malaysia, China, Indonesia ,Thailand, Myanmar, Sri Lanka, Maldives, Vietnam dan Bangladesh. Ketua program MOMSEI Profesor Dr Weidong Yu berkata program itu sangat penting dalam usaha memberi pendedahan dan penekanan mengenai kesan positif dan negatif musim monsun terhadap ekosistem dunia.

"Dengan pengetahuan sains yang ada, kita dapat mengenal pasti implikasi sosial dan kesan ekosistem sekali gus meningkatkan keperluan negara.

"Pelbagai kajian yang dijalankan, diharap dapat mengurangkan kemusnahan yang berlaku akibat musim monsun yang sering berlaku di Asia Tenggara," katanya.

No comments:

Post a Comment