Thursday, September 5, 2013

Bantuan Kewangan RM10,000 Kepada Waris Pelumba Basikal

Kerajaan negeri bersetuju menyumbang RM10,000 kepada waris pelumba basikal Terengganu yang maut dalam kemalangan ketika menjalani sesi latihan, Jun lalu.

 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mesyuarat mingguan Exco meluluskan bantuan kewangan itu sebagai menghargai sumbangan atlet berkenaan dalam sukan berbasikal negeri.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Exco dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Rabu minggu lalu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) Datuk Mat Razali Kassim.

Dalam kemalangan 5 Jun lalu, pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan, di atas jambatan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Mangsa dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori mengakibatkan cedera parah dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

No comments:

Post a Comment