Thursday, September 5, 2013

Polis Rampas Syabu Bernilai RM160,000 Dari Anggota Sindiket Jo Denan

Polis menahan dua lelaki anggota sindiket Jo Denan yang dipercayai aktif mengedar syabu di negeri ini dan Terengganu serta merampas syabu bernilai kira-kira RM160,000 daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penahanan dan rampasan itu dibuat setelah kedua-duanya terlibat dalam nahas jalan raya di Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, Ahad.

"Kereta yang dinaiki mereka yang datang dari Kuala Krai menuju Kota Baharu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan kira-kira 9.35 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Isnin.

Mereka yang berumur 31 dan 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mencuri serta didapati aktif mengedar dadah yang dipercayai diambil dari negara jiran sejak Julai lepas.

"Suspek yang berusia 37 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala suspek yang berusia 31 tahun dan berasal dari Kota Baharu mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.

Mazlan berkata hasil ujian saringan awal, kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan mereka direman selama seminggu bermula hari ini. Beliau berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran syabu di Kelantan.

No comments:

Post a Comment