Thursday, September 5, 2013

Kekukuhan Ringgit Cermin Keyakinan Pelabur Susulan Rasionalisasi Subsidi


Pengukuhan ringgit merupakan petunjuk awal pelabur yakin terhadap ekonomi negara susulan langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim berkata hari ini, kerajaan mengambil langkah yang betul dan ini memberi kesan positif kepada pasaran.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis graduasi Program Peningkatan Tenaga Mahir Sektor Kewangan (FSTEP) di sini, Azman juga berkata kadar inflasi sekarang "sangat stabil dan belum ada sebarang kebimbangan lagi".

Para penganalisis berkata keyakinan pelabur asing kembali semula perlahan-lahan ke dalam pasaran ekuiti dan mata wang Malaysia susulan langkah mengurangkan subsidi bahan api kerana mereka merasakan kerajaan serius dalam menangani defisit fiskal dan peningkatan paras hutang.

Walaupun ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini, terdapat keyakinan bahawa peningkatan mata wang tempatan itu akan berkekalan, kata mereka.

Sementara itu, mengenai cadangan pengambilalihan perniagaan perbankan pelaburan Hwang-DBS (M) Bhd oleh kumpulan itu, Azman berkata ia akan dimuktamadkan pada akhir tahun.

Laporan menunjukkan bahawa Ambank Group, yang merupakan kumpulan perbankan kelima terbesar negara akan melonjak ke kedudukan nombor satu dalam nilai pembrokeran sekiranya ia berjaya membeli Hwang-DBS.

Mengenai perniagaan insurans hayatnya, Azman berkata misi kumpulan untuk mencari rakan kongsi masih diteruskan dan ia ketika ini sedang menilai 'pelbagai pihak yang berminat". AmBank Group mencari rakan kongsi ekuiti baharu bagi insurans hayatnya dan unit takaful keluarga sejak awal tahun ini.

No comments:

Post a Comment