PETRONAS akan menggunakan teknologi pemerolehan minyak dipertingkatkan (EOR) di 14 lapangan minyak di seluruh negara bagi memastikan wujud bekalan tenaga yang cekap dan berterusan pada masa depan.
Naib Presiden Unit Pengurusan PETRONAS, Ramlan Malek, berkata antara lapangan sudah matang yang akan menggunakan EOR termasuk di Baram, Sarawak dan St Joseph (Sabah).
“EOR ini akan turut digunakan di lapangan minyak Tapis dan Dulang yang terletak di luar pesisir pantai Terengganu. Lapangan minyak Tapis adalah yang pertama menggunakan teknologi ini sejak ia mula beroperasi pada 1978.
“Ia (Tapis) menghasilkan lebih 400 juta tong minyak dan kita yakin EOR dijangka mampu
meningkatkan proses pemerolehan minyak sekurang-kurangnya untuk tempoh 30 tahun lagi,” katanya ketika sidang media pada majlis penyempurnaan fabrikasi pemasangan Tapis R di limbungan kapal Malaysia Maritim and Heavy Engineering (MMHE), di Pasir Gudang, Johor, semalam.
Majlis itu disempurnakan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.
Turut hadir Pengerusi dan Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI), J Hunter Farris.
Tapis R, sebuah dek bersepadu 18,000 tan terapung dilengkapi kemudahan pemampatan gas, pancutan air, pengasingan pengeluaran serta tempat tinggal untuk 145 kakitangan.
EOR Tapis adalah projek pembangunan gas yang dilaksanakan PETRONAS Carigali (PCSB) menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Gas (GPSC) 2008 dengan EMEPMI sebagai operator dan PCSB sebagai peneroka bersama di kawasan kira-kira 200 kilometer dari pesisir pantai Semenanjung.
Ia antara pelaburan huluan utama diberikan penekanan oleh kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal menyaksikan EMEPMI dan PCSB melabur kira-kira RM10 bilion untuk membangunkan aset gas dan minyak sedia ada serta baru.
Sementara itu, Farris berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PETRONAS dalam membangunkan sumber petroleum untuk kepentingan Malaysia dan rakyatnya, selain memastikan bahan itu terus berkekalan pada masa depan.
No comments:
Post a Comment