Monday, October 7, 2013

Ahmad Shabery Alu-alukan Cadangan Adakan Perbahasan Enam Naib Presiden Umno


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengalu-alukan cadangan supaya diadakan perbahasan serentak di kalangan keenam-enam calon naib presiden yang akan bertanding pada pemilihan Umno 19 Okt ini.

Bagaimanapun, timbalan ketua Umno bahagian Kemaman, Terengganu itu berkata ia perlu dibuat dalam bentuk forum yang membenarkan setiap calon mengemukakan pandangan masing-masing.

Cadangan diadakan perbahasan itu dibuat bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam yang menganggap ia bersesuaian dengan transformasi Umno dalam sistem pemilihan baharunya.
Menurut Ahmad Shabery, kementerian sudah mengatur program bual bicara di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BernamaTV untuk semua calon naib presiden itu mengemukakan pandangan.

Bercakap kepada BernamaTV dari Cannes, Perancis, Ahmad Shabery yang berada di sana untuk mengetuai delegasi industri filem negara, berkata RTM akan menampilkan calon-calon itu secara serentak.

Bagi BernamaTV pula, ia akan menyiarkan perbahasan itu bermula 10 malam untuk dua malam berturut-turut, 15 dan 16 Okt.

Ia didahului dengan tiga pencabar iaitu Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pada malam berikutnya, giliran ketiga-tiga penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ahmad Shabery berkata BernamaTV, yang juga penyiar rasmi pemilihan Umno 2013, telah mengadakan lintas langsung dan bual bicara serta program bual bicara sejak 21 Sept lepas ketika majlis penyerahan borang oleh calon. BernamaTV kini menyiarkan dua program iaitu Ruang Bicara dan Bicara Calon masing-masing selama satu jam dan setengah jam pada 10 malam dan 11 malam setiap hari.

Temuramah termasuk calon ketua ketiga-tiga sayap.

Ruang Bicara menampilkan calon ketiga-tiga sayap, Pemuda, Wanita dan Puteri dan calon Majlis Tertinggi, diadakan setiap hari mulai 30 Sept.

Ia menampilkan dua atau tiga tetamu yang ditanya mengenai topik tertentu berkaitan politik, isu semasa dan ekonomi.

Program Bicara Calon pula memberi peluang kepada calon-calon ketiga-tiga sayap untuk mengemukakan pandangan masing-masing apa yang mereka akan lakukan jika terpilih nanti. Setakat ini sebanyak enam episod Ruang bicara telah disiarkan selain tiga episod Bicara Calon.

Kedua-dua program itu akan disiarkan sehingga hari pemilihan ketiga-tiga sayap parti pada 12 Okt dan pemilihan majlis tertinggi pada 19 Okt. BernamaTV juga akan menyiarkan secara langsung proses pengundian di dua Umno bahagian pada 12 dan 19 Okt

 Ahmad Shabery juga menasihati calon-calon sayap parti supaya datang ke pejabat BernamaTV untuk merakam pandangan mereka. BernamaTV dan RTM juga akan menjemput Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibual bicara pada 17 dan 18 Okt ini.

No comments:

Post a Comment