Anak tempatan antara yang bakal menjadi pilihan untuk diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 Nov.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bagaimanapun, pihaknya masih menilai beberapa calon yang sesuai bagi mewakili BN di kawasan itu.
Menteri Besar Kedah itu akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan persiapan PRK hari ini.
"Esok (hari ini) saya akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri untuk bincang mengenai persiapan PRK, termasuk calon yang akan diletak di kawasan itu, saya ingat orang tempatan dan seboleh-bolehnya yang mendekati serta disenangi rakyat, itu antara beberapa kriteria yang akan diperhalusi, boleh kita banggakan.
"Buat masa ini, kita masih di peringkat menilai beberapa orang calon yang sesuai dan tidak menolak kemungkinan antara kriteria yang dikenal pasti adalah seorang calon tempatan," katanya selepas majlis Pengenalan Calon Ahli Majlis Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap Umno di stadium tertutup di Gong Badak petang semalam.
Mukhriz berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kerusi DUN Sungai Limau menjadi milik BN pada PRK itu nanti meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat PAS.
Beliau berkata calon yang bakal diketengah mungkin juga seorang ahli agama dan profesional, namun tidak semestinya orang muda.
"Kawasan itu adalah satu tempat yang agak payah untuk BN merampas kembali namun ia tidak bermakna kita akan serah diri di peringkat awal, kita akan berusaha untuk yakini pengundi di Sungai Limau," katanya.
Mukhriz juga berkata pihaknya akan berkempen secara berhemah dan menggunakan cara sedikit berbeza dengan tempat lain kerana Sungai Limau merupakan kawasan bekas Menteri Besar Kedah (Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar).
PRK Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan dari PAS akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 Sept lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.
No comments:
Post a Comment