Saturday, October 26, 2013

Final Piala Malaysia - Kelantan Tunggu Pahang Atau Sarawak


Kelantan memang gah apabila bangkit pada saat akhir untuk mengikat Tentera dengan keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kebangkitan dramatik pada 10 minit terakhir permainan memastikan juara bertahan, Kelantan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menyingkirkan finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kiraan agregat 4-3 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kelantan kini menunggu keputusan perlawanan antara Pahang dan Sarawak di Kuching malam. Pahang ke Kuching dengan agregat 3-1.

Ketika ramai menyangkakan Kelantan akan melangkah ke perlawanan akhir dengan mudah, percaturan pengendali ATM, B. Sathianathan begitu menjadi pada babak pertama apabila Marlon Alex James meledak dua jaringan pada minit ke-18 dan 35 bagi meletakkan The Gladiators berada di hadapan seketika menerusi kiraan agregat 3-2.


Namun, pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani meniupkan api perjuangan The Red Warriors apabila berjaya menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-82 sebelum jaringan menarik daripada ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, tiga minit kemudian memastikan Kelantan bergelar finalis Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini bagi memburu kejuaraan ketiga dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.

Kejayaan anak-anak buah Bojan Hodak bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal ekoran tonggak di bahagian pertahanan, Obinna Nwaneri mengutip kad kuning kedua sekali gus terlepas aksi di perlawanan akhir yang dijadualkan 3 November ini di Stadium Shah Alam.

Separuh akhir pertama ternyata menjadi milik ATM dengan benteng tuan rumah gagal mengunci pergerakan Marlon yang kerap kali berjaya meloloskan diri di dalam kotak penalti lawan di samping kepantasan Christie Jayaseelan dan Venice Elphi Danny Kaya di bahagian sayap menjadi taruhan utama Sathianathan dalam melancarkan serangan balas.

Malah, pertahanan ATM sebelum ini yang nampak longgar ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang cukup berdisiplin serta tidak membiarkan Dickson Nwakaeme terlalu bebas mengawal bola.

Bagaimanapun, tindakan bijak Bojan Hodak meningkatkan tempo permainan anak-anak buahnya pada separuh masa kedua akhirnya memberikan pulangan setimpal apabila Fakri yang masuk menggantikan Zairo Anuar Zailani membuktikan dia masih ada bisa apabila menjaringkan gol penting, lapan minit sebelum perlawanan tamat sebelum disudahkan Badhri atau Piya dengan penuh bergaya pada minit ke-85.


No comments:

Post a Comment