Tuesday, October 8, 2013
Calon Lawan KJ Berang 'Peraturan Baru'
'Perubahan peraturan' berkempen di saat-saat akhir menimbulkan perasaan tidak puas hati calon ketua Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, yang berdepan tugas gentir menentang penyandang Khairy Jamaluddin.
Mempersoalkan keabsahan tindakan itu, Syed Rosli berkata, keputusan itu bertentangan dengan perlembagaan dan boleh dianggap sama dengan DAP yang berdepan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.
"Jikalau Umno boleh pinda perlembagaan sesuka hati,maka jangan kutuk DAP jika kita tak ikut perlembagaan.
"Sama sahaja seperti DAP yang melanggar perlembagaan sendiri. Jangan sampai orang ramai kata Umno sama dengan DAP dua kali lima," kata Rosli.
Beliau berkata, beliau sudah bangkitkan perkara itu kepada Jawatankuasa Disiplin Umno dan jika tiada tindakan diambil, perkara itu akan dipanjangkannya kepada ROS.
Ditanya kenapa beliau tidak kisah dengan tindakan sama apabila menteri berkempen untuk calon BN, beliau berkata akar umbi tidak mempunyai peluang menyatakannya.
"Saya sebagai ahli akar umbi tiada peluang dan ruang untuk menyuarakan bantahan tentang salah guna kuasa menteri, untuk kepentingan politik dan peribadi.
"Apa yang masyarakat, rakyat dan ahli bawahan pandang ialah ia salah guna politik. Sekarang saya bertanding ketua Pemuda Umno, saya boleh bangkitkan," katanya.
Utusan melaporkan, keluhan ahli Umno terhadap syarat kempen pemilihan parti yang terlalu ketat mendapat respon Lembaga Disiplin parti yang mengesahkan calon-calon boleh berkempen secara terbuka asalkan tidak keterlaluan dan terlalu ekstrem.
Syed Rosli sebelum ini mendakwa Khairy menyalah guna jentera kementerian belia dan sukan untuk berkempen bagi pemilihan Umno. Khairy menafikannya.
Turut bertanding merebut jawatan itu Ketua Pemuda cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas ketua Pemuda Merbok Abd Karim Ali serta ketua Pemuda Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.
No comments:
Post a Comment