Tuesday, October 8, 2013

Pemilihan Calon Agama Dalam PRK Sungai Limau Beri Kelebihan Kepada BN

Pemilihan calon daripada kalangan 'orang agama' dilihat mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Ahli  Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagaimanapun, kemenangan bukan boleh dicapai dengan bergantung kepada kefahaman agama calon itu semata-mata malah meliputi soal kecekapan pentadbiran dan pengurusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yakin satu gelombang baharu sedang bergerak di DUN Sungai Limau, dan ini merupakan peluang terbaik BN untuk menguasai kawasan berkenaan, yang merupakan kubu kuat PAS sejak tahun 1995.

"Peluang kita cerah, kita akan tentukan calon yang terbaik untuk kawasan Sungai Limau dan calon itu juga mampu mewakili 27,000 pengundi kawasan berkenaan," katanya pada Majlis Penyerahan Van Jenazah Sumbangan Tabung Haji dan Bank Islam di Pejabat Umno Bahagian Jerai semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Limau pada 4 Nov manakala hari penamaan calon ialah 23 Okt.

Kerusi DUN Sungai Limau, yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai, diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak bekas Menteri Besar Kedah pada 26 Sept lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Azizan mempertahan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenangi sejak 1995 untuk PAS selepas menewaskan calon BN merangkap sepupunya, Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

 Jamil Khir berkata beliau berharap ada semangat perubahan yang baharu dalam kalangan rakyat di DUN Sungai Limau dan memberi peluang kepada BN, yang dipimpin Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, untuk mempertingkat sosioekonomi kawasan itu.

No comments:

Post a Comment