Tuesday, October 8, 2013

DBP Anjur Sambutan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Terengganu

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur akan mengadakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah DBP Wilayah Timur Azmi Ibrahim berkata pelancaran majlis itu akan dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini Isnin, beliau berkata sepanjang BBK berlangsung pada Oktober ini, pelbagai aktiviti bahasa dan sastera dilaksanakan bertujuan menyuburkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.

Katanya peranan bahasa kebangsaan sebagai satu daripada asas pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia diharap masih relevan dengan era globalisasi dan pemodenan yang diharungi kini. BBK mula diperkenalkan pada tahun 1999 bertujuan membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera Melayu.

Sementara itu Azmi berkata malam bahasa jiwa bangsa sempena sambutan BBK peringkat negeri akan diadakan di dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada malam ini.

Antara pengisian malam itu termasuklah deklamasi puisi, persembahan bahasa berirama, persembahan lagu puisi, sketsa dan persembahan kebudayaan tempatan.

No comments:

Post a Comment