Saturday, October 26, 2013

Kit Rawatan CAPD Percuma Kepada Pesakit Buah Pinggang, Perkhidmatan Kardiotorasik Di Hospital Terengganu

Kerajaan akan menyediakan kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) secara percuma kepada pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir untuk membuat rawatan sendiri di rumah. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu dan juga terpaksa membelanjakan sehingga Rm400 setiap kali rawatan.

"Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan CAPD yang bernilai RM19,000 seunit," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Bagi terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM22.1 bilion bagi sektor kesihatan yang merangkumi perbelanjaan operasi dan pembangunan.

"Peruntukan ini akan disalurkan untuk program dan projek termasuk pembinaan Hospital Tanjung Karang dan blok tambahan Hospital Jeli serta menaik taraf Hospital Kuala Lipis dan 30 klinik desa," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan menyediakan 50 buah Klinik 1Malaysia tahun depan dan sehingga kini, 234 Klinik 1Malaysia telah disediakan.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM66 juta untuk pembelian peralatan dan membina blok tambahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu," katanya.

Untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan dan meringankan beban tugas jururawat yang bertugas berterusan secara dua syif, Najib berkata kerajaan akan menambah seramai 6,800 jururawat dengan peruntukan RM150 juta.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM3.3 billion bagi menyediakan bekalan ubat dan alatan perubatan mencukupi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sempurna termasuk memperluaskan perkhidmatan kardiotorasik di Hospital Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuching. 

Bagi menangani masalah kekurangan parkir di Hospital Kuala Lumpur, beliau berkata sebanyak 1,950 ruang letak kereta baharu akan siap pada tahun depan.

"Hospital Rompin, Shah Alam dan Institut Kanser Negara akan mula operasi pada tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment