Kelantan bangkit dengan membelasah 6-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Sebelum perlawanan bermula, ribuan penyokong Kelantan membaca surah Al-fatihah untuk dihadiah kepada anak penjaga gawang Johor DT, Al-Hafiz Hamzah yang meninggal dunia pagi semalam.
Turut mengiringi Kelantan adalah juara Liga Perdana, Sarawak yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah pertemuan dengan Pahang sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi lawan Red Warriors dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Penyerang import Sarawak, Muamer Salibasic (kanan) diasak pemain Sime Darby, Juzaili Samion pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. |
Walaupun tumbang 2-4 di Larkin pada suku akhir pertama yang lalu, Red Warriors membuktikan Kota Bharu adalah gelanggang keramat buat mereka apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang kepada Johor DT untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal permainan.
Kelebihan dua jaringan yang dibawa oleh Johor DT seakan-akan mahu segera dipadamkan The Red Warriors menerusi sepakan percuma Zairol Annuar Zailani seawal minit ke-2, namun tandukan Indra Putra Mahyuddin sekadar mengegar palang gol pelawat.
Berkasi di gelanggang sendiri, Kelantan terus bernafsu memburu jaringan menerusi asakan bertali arus memaksa benteng pertahanan pelawat yang di terajui oleh Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak bekerja keras mengekang serangan The Red Warriors.
Tuan rumah akhirnya berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi rembatan kencang pemain sayap Mohd. Nor Farhan Mohammad dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat Zulfadli Mohd. pada minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat membuat pertukaran awal di bahagian pertahanan dengan membawa masuk Ahmad Tarmini Saiban bagi menggantikan Irfan Ghani pada minit ke-20 bagi memperkemaskan posisi berkenaan.
Kelantan sebaliknya terus mengganas apabila kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-32 menerusi rembatan jarak dekat yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Johor DT, Zulfadli Mohd.
Usaha pelawat untuk merapatkan jurang gol akhirnya membuah hasil menerusi rembatan kencang Safee Sali pada minit ke-42 selepas bijak memperdayakan Azizi Mat Rose sekali gus mengecewakan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat.
Kegembiraan pelawat meraikan gol pertama mereka hanya bertahan dua minit apabila tonggak pertahanan Kelantan Obinna Nwaneri meledak gol ketika tuan rumah sekali gus mengikat kedudukan agregat 5-5.
Kapten Kelantan Mohd. Badhri hampir menggandakan jaringan pasukan tuan rumah namun rembatannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Dickson Nwakame meletakkan pasukannya terus selesa di hadapan menerusi gol keempat pada minit ke-46.
Kelantan bagaikan dirasuk apabila terus menekan kubu pertahanan pelawat pada minit ke-56 dan 57 menerusi Nwakeame dan Shakir Shaari yang gagal menepati sasaran.
Menyedari ketumpulan jentera serangan, pengendali Johor DT, Azmi Mohamad membawa masuk tonggak importnya Leonel Nunez bagi menggantikan Hazin Azman dalam usaha memperkasakan bahagian tersebut pada minit ke-60.
Kemasukan penyerang kelahiran Argentina itu nyata tidak menggugat semangat pemain tuan rumah, mereka sebaliknya terus berpesta selepas Mohd. Nor Farhan meledak jaringan kelima The Red Warriors sekali gus menambah koleksi jaringan keduanya dalam perlawanan tersebut.
Selesa mendahului dengan lima jaringan, tuan rumah sama sekali tidak mengendurkan asakan, sebaliknya terus bernafsu untuk memburu jaringan menerusi deretan peluang terhidang yang gagal disempurnakan oleh jentera serangan The Red Warriors.
Indra Putra memadamkan sisa-sisa perjuangan pelawat menerusi gol keenam pada minit ke-89 selepas menyudahkan hantaran Nwakaeme yang sebelum ini bijak mempedayakan penjaga gawang Johor DT Zulfadli.
Kemenangan tersebut menyaksikan The Red Warriors menyingkirkan Johor DT dengan kelebihan agregat 8-5.
Sementara itu, pemain import dari Bosnia, Muamer Salibasic, meledak jaringan hatrik bagi membantu Sarawak yang bangkit daripada ketinggalan apabila Sime Darby terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui jaringan Mohd. Asrol Ibrahim pada minit ke-3.
Bujang Senang bagaimanapun tidak tertekan walaupun pelawat terlebih dahulu mendapatkan gol di tempat lawan, sebaliknya Salibasic ada formula tersendiri bagi mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-27 dan meletakkan Sarawak di hadapan buat kali pertama pada minit ke-55 berpunca daripada situasi sepakan percuma.
Salibasic akhirnya memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Sarawak apabila lima minit sebelum permainan tamat, hasil gerakan dengan Booby Gonzales, dia merakamkan jaringan hatrik dengan penuh bergaya sekali gus membuatkan kira-kira 30,000 penonton setia Bujang Senang pulang dengan gembira.
No comments:
Post a Comment