Saturday, October 5, 2013

Malam Bahasa Semarakkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Terengganu

Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Pejabat Daerah Hulu Terengganu akan mengadakan program Malam Bahasa Jiwa Bangsa, pada Rabu depan.

Pengarah DBP Wilayah Timur Azmi Ibrahim berkata program yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu itu merupakan program apresiasi sastera sempena sambutan bulan bahasa peringkat negeri Terengganu.

"Program ini bertujuan menyatukan semangat dan suara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam menzahirkan kempen bulan bahasa kebangsan melalui pendeklamasian puisi, persembahan budaya dan tradisional, serta nyanyian selain memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Antara pengisian acara dalam majlis ini ialah persembahan bahasa berirama, persembahan lagu puisi, sketsa serta persembahan kebudayaan," katanya.

Menurutnya majlis akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan Negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

"Orang ramai dan masyarakat setempat dijemput hadir untuk menyaksikan persembahan ini yang akan bermula pada 8.45 malam.

"Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Terengganu akan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada 9 Okt pukul 2.30 petang, bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam," katanya.

Azmi berkata sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini juga, DBP Wilayah Timur turut bekerjasama dengan Jabatan Penyiaran kawasan Timur menerusi radio TFM dengan melalui program 'Indahnya Pantun' berlangsung selama sebulan, sehingga November.

No comments:

Post a Comment