Thursday, October 10, 2013

Media Agensi Penting Untuk Sampaikan Maklumat


Media pelbagai saluran di negeri ini, memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai penyalur maklumat tetapi juga sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata pada masa sama, pihaknya cukup menghargai peranan wartawan, yang sememang tidak jemu menghebahkan maklumat terkini sama ada berkaitan perkara umum, keperluan masyarakat dan politik.

“Jika perkara itu, tidak diambil peduli, cukup sukar bagi kerajaan dan pihak lain untuk menghebahkan pelbagai maklumat kepada masyarakat umum.


“Golongan itu sememangnya sentiasa ingin mengetahui berita melalui media cetak dan media elektronik,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Mohd Zubir Embong pada Majlis Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-Exxonmobil (Akkem) di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Sebanyak lapan kategori berita dipertandingkan di mana, Ahmad Rabiul Zukifli dari Harian Metro dianugerahkan Penulisan Berita Terbaik; Narazul Amir Zainal Azam (Kosmo,Berita Ekonomi Terbaik); Manirah Othman (Kosmo, Penulisan Berita Sukan Terbaik) dan Narazul Amir Zainal Azam (Kosmo, Penulisan Rencana Terbaik).

Anugerah lain, Ajasneh Ahmad (Bernama, Foto Terbaik); Mohd Ishak Abdillah Ngah (Bernama, Laporan Berita TV Terbaik); Adnan Mohammad (Utusan, Penulisan Berita Pendidikan Terbaik) dan Norazila Md Sani (RTM, Laporan Khas TV Terbaik).

Sementara itu, Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil di Malaysia, J.Hunter Farris, berkata majlis seumpama itu telah menjadi antara satu kaedah bagi mendorong wartawan khususnya di Terengganu untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Katanya, pihaknya melihat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) telah bergerak dengan begitu aktif , ia dapat dibuktikan melalui peningkatan kualiti penulisan dan jumlah karya yang diterima berbanding dahulu. 

“Pihak kami kagum dengan usaha dan inisiatif Kawat menganjurkan program ini hampir 30 tahun.Walaupun kepimpinan Kawat silih berganti, namun prestasi program tahunan ini dapat dikekalkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment