Friday, November 29, 2013

1,000 Peserta Berbasikal Sertai Terengganu Monsoon Ride 2013 Esok

Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu menyasarkan 1,000 peserta berbasikal yang akan menyertai program Terengganu Monsoon Ride 2013 esok.

Pengarahnya Mohd Sabri Zakaria berkata program anjuran kali kedua itu bertujuan mempromosikan tempat pelancongan di sekitar Terengganu dan antara program sampingan sempena Piala Monsun yang sedang berlangsung di Pulau Duyong.

Beliau berkata peserta akan mengayuh sejauh 100 kilometer melalui lima parlimen bermula dari Pulau Duyong, Parlimen Kuala Terengganu kemudian ke Hulu Terengganu, seterusnya ke Setiu dan berpatah balik melalui Parlimen Kuala Nerus sebelum sampai kembali ke Pulau Duyong.

"Para peserta juga melibatkan ahli kelab-kelab basikal dari seluruh Malaysia dan kita turut mendapat beberapa penyertaan dari Thailand, Singapura serta Indonesia," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Sabri berkata program kayuhan basikal secara santai itu diharapkan dapat memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan untuk dikunjungi setiap masa.

"Kita mahu ubah pemikiran masyarakat yang anggap Terengganu tidak dapat dilawati ketika musim monsun dan kita buktikan bahawa pemikiran itu salah kerana walaupun sedang berhadapan dengan monsun, kita masih dapat berbasikal tanpa halangan," katanya.

1 comment: