Friday, November 29, 2013

Dua Cawangan Bank Rakyat Akan Dibuka Di Terengganu

Dua buah lagi cawangan Bank Rakyat akan dibuka di Terengganu bagi memenuhi permintaan dan mengembangkan perkhidmatan perbankan Islam di negeri itu pada akhir tahun ini dan awal tahun depan. 

Pengurus Bank Rakyat Wilayah Timur Azman Mustaffa berkata dua cawangan itu ialah di Bandar Marang, Marang, yang akan dibuka pada awal bulan depan dan diikuti cawangan Kuala Berang di Hulu Terengganu pada awal tahun depan.

Katanya dengan pembukaan dua cawangan baharu itu, Terengganu kini mempunyai lapan cawangan di semua daerah kecuali Setiu, yang masih dalam perundingan.

Azman berkata kini terdapat 27 cawangan Bank Rakyat di negeri-negeri Pantai Timur iaitu di Pahang, Terengganu dan Kelantan daripada 142 cawangan yang beroperasi di seluruh negara.

"Sambutan pendeposit termasuk dari kalangan bukan Islam terhadap perbankan Islam di Bank Rakyat Pantai Timur kini memberangsangkan, dan menjadi antara penyumbang kepada keuntungan sebanyak RM2.4 bilion Bank Rakyat baru-baru ini," katanya ketika ditemui pemberita pada pertemuan dengan para imam dan bilal serta anggota jawatankuasa masjid, di Masjid Hadhari di Jertih di semalam.

Katanya antara faktor peningkatan pendeposit dengan Bank Rakyat ialah kadar keuntungan tetap dan terjamin yang dilaksanakan kepada pendeposit setiap tahun oleh bank berkenaan yang memulakan sistem pengurusan Islam mulai tahun 1983.

No comments:

Post a Comment